Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, October 26, 2008

Apa yang berlaku ni??


Namaku Mail (bukan nama sebenar sepertimana yang ayah aku bagi). Aku merupakan seorang yang hebat. Kerja aku ialah masuk rumah orang (mencuri lah). Aku fikir, dengan jalan ini sahaja aku akan dapat banyak wang dan apa juga yang aku inginkan. Aku memulakan kerjaya sebagai pencuri pert time masa aku sekolah menengah iaitu dengan mencuri buku-buku kawan, alat ganti motor kawan, duit kawan, baju kawan dan lain-lain lagi yang kawan punya. Setelah tamat tingkatan lima, aku bertekad untuk menjadikan mencuri ini sebagai kerja tetap. Jadi bermula la kisah aku sebagi seorang pencuri profesional.

Disebabkan kerja dan perbuatan aku tidak dihidu oleh polis dan aku sentiasa bolos kalau ada tangkapan menyebabkan aku rasa sombong dengan kelakuanku ini. Namun, kaa pepatah "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua" memang betul. Aku ditangkap ketika cuba untuk masuk ke rumah tok penghulu kampung aku sendiri (untuk mencuri).

Akhirnya aku insaf dan bertaubat di atas segala kesalahan dan dosa yang telah aku lakukan selama ini.... Ya Allah... Ampunilah hambaMu yang lemah ini. Terimalah taubatku Ya Allah.

PetaKonsep Pembelajaran

Peta konsep berkaitan tajuk yang akan dipelajari

Objektif pembelajaran dan penghayatan

Selain daripada belajar, kami juga berharap anda semua dapat menghayati beberapa perkara:-

1. Mengenalpasti perkara-perkara yang boleh membawa kepada dosa dan menjauhinya.
2. Sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa melihat kita, walau di mana kita berada.
3. Bersegera untuk bertaubat kepada Allah, jika melakukan kesalahan dan dosa.
4. Memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah Azza Wajalla.

Selamat belajar dan semoga berjaya

Dosa dan maksiat

Pengertian Dosa atau Maksiat
Perkataan dosa atau maksiat dimaksudkan dengan pengertian daripada kalimat (sayyiat) iaitu segala bentuk kejahatan, (munkar) perkara mungkar, (fahsya') perkara keji, (su'un) perkara buruk, (zanbun) perkara dosa, (mujrimin) melakukan aniaya, (dzolimin) melakukan kezaliman, dan (mufsidin) membuat kerosakan, sepertimana yang terdapat di dalam al-Quran. Orang-orang yang beriman tetapi melakukan perkara-perkara tersebut, dianggap melanggar perintah Allah SWT akan menerima balasan di dunia dan balasan azab api neraka di akhirat kelak dengan balasan yang setimpal.


Pembahagian Dosa Dan Maksiat

Dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Yang dimaksudkan dengan dosa besar ialah kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman berat kerana dilihat besar akibatnya pada si pelaku dan kesannya kepada masyarakat umum. Manakala dosa kecil pula ialah kesalahan-kesalahan yang dipandang kecil akibatnya pada si pelaku dan juga kesannya kepada orang lain. Walau bagaimanapun, dosa ini tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh juga menjadi dosa besar apabila dilakukan dengan berterusan dan dipandang ringan sahaja.

Memberi dan menerima rasuah merupakan salah satu dosa (gambar hiasan)

** Rujukan:-
- Buku Teks Pendidkan Islam, Tingkatan Empat.
- MENGAPA SAYA HARUS BERTAUBAT? Muhammad Husain Yakob


Friday, October 24, 2008

Peta konsep tajuk taubat


Melalui peta konsep ini, anda akan dapat menelusuri pembelajaran Pendidikan Islam dalam tajuk taubat ini dengan mudah sekali. SELAMAT BELAJAR

Pengertian Taubat

Taubat. Suatu istilah yang pendek, yang senang disebut, tetapi sering di salah ertikan tuntutannya. Tuntutan taubat juga sangat berat untuk dipenuhi oleh orang yang merindui dosa dan kemungkaran. Sebaliknya, tuntutan taubat merupakan suatu kemanisan buat seseorang yang merindui untuk berdamping dengan kekasihnya yang sejati lagi hakiki iaitu Allah Rabbul Izzati.Kadang-kadang kita yang jahil ini sering terfikir. Kenapa kita perlu bertaubat ? Tidak lain dan tidak bukan ialah agar :

Kita dapat merasai keringanan dan kemanisan dalam beribadah. Agar hati kita sentiasa tenang. Kerana kejadian kita yang dicipta Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya, adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian kita yang benci menjadi hamba kepada selain Allah. ( Sila rujuk text Pertempuran yang lalu ). Kerana setalah merasa kemanisan dan keringanan dalam beribadah, maka kita telah pun menerima taufik, bagi melaksanakan hidayah yang telah kita kecapi.

Agar ibadah kita di terima oleh Allah SWT. Ibadah yang kita lakukan, sedang kita bergelumang dengan dosa dan maksiat, belum tentu dinilai oleh Allah SWT. Ibaratkan seorang rakyat yang kotor tubuh badan disaluti selut lumpur, pergi mengadap Raja untuk menerima hadiah. Apakah Raja akan gembira dengan rakyatnya yang pengotor datang mengadap untuk menerima hadiah ? Begitu juga halnya dengan diri kita. Seandainya diri kita dikotori oleh dosa dan kemungkaran, apakah mudah untuk Allah menerima ibadah kita ? Melainkan kita membersihkan diri kita dengan taubat..

PENGERTIAN TAUBAT

Bahasa: Perkataan taubat diambil daripada perkataan (ta alif ba). Perkataan (ta alif ba) dalam Bahasa Arab membawa erti kembali.

Istilah: Taubat membawa maksud kembali iaitu kembali taat kepada Allah setelah menyesal melanggar perintah Allah atau melakukan larangannya.

Menurut pendapat
Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani, "Taubat ialah kembali seseorang itu daripada melakukan perkara-perkara yang dicela pada syarak kepada perkara-perkara yang dipuji pada syarak dan mengetahui dia bahawasanya, dosa dan maksiat itu membinasakan diri dan iman dan menjauhkan daripada Allah Azza Wajalla dan daripada syurgaNya".

Manakala
taubat nasuha mengikut pendapat Abu Hasan Basri Radiallahhuanhu ialah " Bermula taubat nasuha itu iaitu menyesal dengan hati dan Istighfar dengan lidah dan meninggalkan maksiat dan segala anggotanya dan cita-cita bahawa tiada kembali kepada maksiat selama-lamanya".

Berpandukan pengertian taubat daripada pandangan dua tokoh ulama besar di atas dapatlah difahamkan bahawa taubat itu ialah satu cara membersihkan diri seseorang dari sebarang dosa atau maksiat yang dilakukan serta kembali mengerjakan perkara-perkara yang disuruh yang telah ditinggalkan. Orang yang telah melakukan taubat maka jadilah hatinya yang kotaor itu bersih semula seperti kain putih. Amalan taubat itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak.

** Rujukan:-
- Buku Teks Pendidkan Islam, Tingkatan Empat
.
-
MENEBUS DOSA: MAKNA DAN TATACARA BERTAUBAT, Imam Al-Ghazali
- BIMBINGAN TAUBAT, Dr. Hasan Hj. Mohd Ali


Hukum bertaubat

Para ulama sepakat memutuskan hukum hukum bahawa orang yang telah melakukan dosa atau meksiat itu ialah wajib bertaubat ke hadrat Allah SWT dengan berpandukan beberapa ayat al-Quran al-Karim dan hadith Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:-

وَتُوبُوا إلى الله جميعًا أَيُّهَا المُؤمِنُونَ لَعََّلكُمْ تُفلِحُونَ


Maksudnya:- Bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu mendapat kebahagiaan. (Surah An-Nur:31)

Firman Allah SWT lagi:-

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ اَمَنُوا تَوبُوا إِلَى اللهِ تَوبَةً نَصُوحًا

Maksudnya:- Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan cara bersungguh-sungguh. (Surah At-Tahriim:8)


**Rujukan
- Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan Empat
- Al-Quran, Tafsir Ar-Rahman
- Ibadat Taubat Pelindung Kemurkaan Allah” karangan Ustaz Ahmad Zohdi Bin Haji Mohd Sheikh

Kenapa kita perlu bersegera bertaubat??

Orang yang telah melakukan dosa atau maksiat wajib melakukan taubat dengan segera malah disunatkan supaya dilakukan dengan tergesa-gesa seperti juga halnya dengan mengebumikan mayat atau membayar hutang kepada orang. Sebaliknya, janganlah dia menunggu sehingga sampai nazak (hampir mati) barulah nak bertaubat. Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan menerima taubat di saat genting begini.

Firman Allah

وَسَارِعُوا إِلَى اللهِ مَغفِرَةٍ مِن رَّبَِكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمَوَتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya:- Bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan ke syurga, lebarnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Surah Ali-Imran:113)

Hadis Rasulullah SAW. (Riwayat Abu Hurairah R.A)

"Sesungguhnya seorang manusia, jika ia melakukan dosa, maka di hatinya akan tercoreng warna hitam, dan jika ia meninggalkan perbuatan dosa itu serta bertaubat darinya, maka hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali melakukan dosanya itu, maka hitamnya itu akan ditambah hingga menutupi seluruh hatinya, itulah tutupan yang disebutkan Allah SWT dalam firman-Nya: "Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka". **

** Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi (3331) dan ia berkata: Hasan Sahih. Demikian juga al-Nasa'i, Ibn Majah (4244), Ibn Hibban dalam sahihnya seperti terdapat dalam al-Mawarid (2448) dan al-Hakim serta ia mensahihkannya atas syarat Muslim dan al-Zahabi menyetujuinya (2/517). Dan ayat itu dari Surah Al-Muthaffiffin:14.

Syarat-syarat taubat

Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan menerima taubat seseorang hambanya kecuali ia menepati syarat-syarat. Sekiranya dosa atau maksiat itu terjadi di antara manusia dengan Allah sahaja maka taubat hendaklah menepati tiga syarat sahaja iaitu:-

1. Hendaklah berhenti dari melakukan dosa atau meksiat
2. Hendaklah menyesal dengan sepenuh hati atas dosa atau maksiat yang dilakukan
3. Hendaklah berazam tidak akan mengulangi semula dosa atau maksiat yang telah dilakukan.
***
4. Jika sekiranya dosa atau maksiat ini berlakunya semasa manusia maka hendaklah ditambah dengan satu syarat lagi iaitu hendaklah dia mengembalikan barang yang diambil kepada tuannya jika berbentuk barang, atau diminta supaya dihalalkan sahaja. Jika dosa itu merupakan keaiban manusia maka hendaklah dia meminta kemaafan daripadanya.


Apa hikmah di sebalik taubat?

Setiap suruhan Allah mempunyai hikmah dan pengajaran di sebaliknya. Tidak kira samaada suruhan itu menggalakkan atau tegahan, kesemuanya mempunyai hikmah. Diantara hikmah bertaubat ialah:-


1. Memberi peluang kepada orang yang berdosa kembali ke jalan Allah
2. Memberi ketenangan hati kepada muslim yang bertaubat
3. Mendapat keampunan serta petunjuk Allah
4. Sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana Allah kasih kepada orang yang suka bertaubat dan orang yang bersih daripada dosa.
5. Meningkatkan keimanan kerana menyedari diri tidak sempurna
6. Mendapat balasan syurga di akhirat kelak
7. Mengembalikan Silaturrahim.


Kenapa Allah menerima taubat kita?

Antara sebab Allah menerima permohonan taubat daripada hambaNya ialah:-

1. Menunjukkan Allah itu Maha Penyayang kerana mengampunkan dosa hambaNya.
2. Supaya hambaNya bersih dari dosa.
3. Supaya seseorang itu sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.
4. Mendapat balasan syurga di akhirat kelak.
5. Supaya orang yang bertaubat itu berasa benci dengan dosa yang dilakukan.
6. Supaya sedar bahawa Allah sahaja yang berhak mengampunkan dosa hambaNya.

Bagaimana kita nak solat sunat taubat?


Sembahyang Taubat ialah satu sembahyang yang disunatkan. Ianya dikerjakan setelah seseorang itu melakukan dosa atau maksiat dan kemudian dia bertaubat ke hadrat Allah SWT.

Kaifiat atau kaedah menuanaikan Solat Sunat Taubat ialah:-

1. Didirikan sebanyak dua rakaat

2. Lafaz niat ialah:-
أصَلِّى سُنَّةً التًّوْبَةِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعاَلى
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.

3. Rakaat pertama : Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun
Rakaat kedua : Membaca surah Al-Fatihah dan surah al-Ikhlas

4. Selepas memberi slam hendaklah membaca Istighfar dan menohon ampun kepada Allah SWT seperti contoh berikut:-

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوب إِلَيهِ

Ertinya: Saya memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung, saya mengaku tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang hidup dan sentiasa jaga, saya memohon taubat kepadaNya.

5. Membaca doa selepas Istighfar seperti berikut:-

بسم الله الرمن الرحيم, الحمد لله ربِّ العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين. اللهم انت ربى لاإله إلا أنت خلقتنى وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت. أعوذبك من شرِّ ماصنعت أبوء لك بنعمتك على وأبوء بذنبى فاغفرلى فإنه لايغفر الذنوب إلاَّ أنت


" Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami, tiada Tuhan selain Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap dalam janji dan perjanjianMu sedaya upayaku, aku memohon perlindunganMu dari kejahatan yang telah aku perbuat, aku kembali kepadaMu dengan menyatakan dengan pemberian nikmatMu kepada ku serta aku pun mengakui akan dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak akan mengampuni dosa melainkan Engkau."

AYUH KITA MULAKAN SOLAT SUNAT TAUBAT SEKARANG
JANGAN TUNGGU ESOK

Panduan lengkap cara bertaubat

Kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan. Sering kali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Namun, orang yang paling baik ialah orang yang segera bertaubat kepada Allah setelah melakukan kesalahan. Ramai di kalangan kita yang mengatakan mereka sudah bertaubat dan akan bertaubat. Tahukah kita bagaimana kaedah atau cara taubat yang baik dan diterima oleh Allah. Di sini saya akan kongsikan dengan sidang pembaca sekalian tiga kaedah yang dicadangkan oleh para ulama untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Iaitu cara Afdhal, Kedua dan ketiga. Anda boleh memilih kaedah dan cara mana yang difikirkan sesuai dan mampu untuk anda melaksanakannya..... SELAMAT MENCUBA.

Modul I : PANDUAN LENGKAP TAUBAT CARA AFDHAL (TAUBAT NASUHA)
Perkara : Dosa atau maksiat berlaku sesama manusia
Contoh : Mencuri wang lima ribu ringgit
Tempat taubat : Di Masjid
Masa taubat : Selepas Solat Isyak

** Doa taubat selepas membaca istighfar

Maksudnya:- Ya Allah ya Tuhanku, dengan namaMu yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah, kasihanilah aku, selamatkanlah aku, terimalah aku kembali, pandanglah wajah aku ya Allah, sesungguhnya aku bertaubat padaMu ya Allah, aku kembali padaMU ya Allah, aku sungguh menyesal di atas apa yang telah aku lakukan, dan aku berazam ya Allah tidak akan mengulanginya kembali.


Modul II : PANDUAN LENGKAP TAUBAT MARTABAT KEDUA
Perkara : Dosa atau maksiat berlaku dengan Allah
Contoh : Minum arak
Tempat taubat : Di rumah sendiri
Masa taubat : Selepas Solat Isyak
Modul III : PANDUAN LENGKAP TAUBAT CARA MUDAH
Perkara : Dosa atau maksiat berlaku dengan Allah
Contoh : Meninggalkan solat fardhu
Tempat taubat : Di mana-mana sahaja
Masa taubat : Segera


Senjata umat Islam - DOA -

Pengertian Doa
Doa adalah memohon atau meminta suatu yang bersifat baik kepada Allah SWT seperti meminta keselamatan hidup, rezki yang halal dan keteguhan iman. Sebaiknya kita berdoa kepada Allah SWT pada setiap masa karana Allah SWT akan sentiasa mendengarnya.

Tatacara Berdoa
Berdoa ada tataracanya. beberapa ayat dalam al-Quran pun mengisyaratkannya. Dalam berdoa, hendaklah disertai rasa penuh Tadarruk (rendah diri), Khasyyak (takut), Sukuun (penuh ketenangan), Husnul Adab Ma'al Haq Tabaaraka Wa Taala (penuh kesopanan pada Allah Yang Maha Besar, Maha Pemberi Berkat dan Maha Tinggi).

Contoh tataraca daripada Rasulullah SAW
Adab dalam berdoa juga dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis yang sahih. berikutnya saya bawakan kepada anda tentang beberapa hadis berkenaan dengan tatacara berdoa:-
1. Mengangkat kedua tapak tangan dan mengusapkannya ke wajah selepas berdoa.
2. Memberi tumpuan dengan hati yang yakin, bahawa doanya akan dikabulkan
3. Mendahului doa dengan ucapan hamdalah dan selawat dan menyelangi serta menyudahinya dengan membaca selawat.
4. Mengakhiri dengan ucapan amin.
5. Dengan tenang dan suara perlahan (berbisik-bisik)
6. Menggunakan kalimat yang singkat tetapi dalam makna yang luas.
7. Mengulangi doa dan membaca istighfar 3 kali.
8. Jangan meminta segera dikabulkan doa tersebut **
9. Jangan berdoa perkara keburukan
10. Memulai doa dengan diri sendiri, baru untuk orang lain.
"Adalah nabi SAW jika mendoakan seseorang, baginda memulakan doa untuk dirinya," kata
Ubay bin Kaab r.a (Diriwayatkan oleh Tarmizi)

** Bila seseorang anak Adam itu berdoa, maka hasilnya terbahagi kepada 3 keadaan
1. Doanya diterima dan terus dikabulkan seperti apa yang diminta
2. Doanya diterima, tetapi di tukarkan dengan yang lain (tidak seperti yang diminta)
3. Doanya diterima, tetapi hasilnya dia akan dapat diakhirat kelak.


Tuesday, October 14, 2008

Bilakah waktu mustajab untuk berdoa??

Doa sebagai senjata bagi orang Mu'min. Ada waktu-waktu yang tertentu di mana doa boleh terkabul, sepertimana yang telah dinyatakan dalam beberapa Hadis Nabi Muhammad SAW. Waku-waktu tersebut ialah:-

1. Di antara Azan dan iqamah
Menurut Anas r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda "Doa yang dipanjatkan di antara waktu azan dan iqamah tentu tidak akan ditolak oleh-Nya." Para sahabat pun bertanya, "Wahai Rasulullah, doa apa yang sebaiknya kami panjatkan?" " Sebaiknya, mintalah keselamatan
baik
di dunia mahupun di akhirat." (HR Abu Daud dan Tarmizi)2. Sewaktu sujud
"Hampirnya seseorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud itu," sabda Rasulullah SAW yang dituturkan kembali
oleh
Abu Hurairah r.a. (HR Muslim, Abu Daud dan Nasai)

3. Waktu bermusafir dan ketika dizalimi orang

4. Waktu datang ajakan untuk berperang, ketika berperang dan di waktu hujan

Oleh itu, wahai pembaca sekalian, marilah kita bersama-sama merajinkan diri kita berdoa dan beristighfar setiap saat. Utamakan juga pada waktu-waktu yang mustajab, di tengah malam hari dan di waktu sahur. Berkemungkinan waktu itu, Allah menurunkan Keredhaan dan KurniaNya. Dan menjadikan kita beruntung baik di dunia mahupun di akhirat.









Senarai Rujukan

1. MENGAPA SAYA HARUS BERTAUBAT?
Pengarang Asal: Muhammad Husain Yakob
Diterjemahkan oleh: Abu Azzat al-Mubarak, Aunur Rafiq Ma’ruf
Cetakan: 2006
PERNIAGAAN JAHABERSA
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.Y33154 N.1 ki

2. TAUBAT
Pengarang Asal: Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Diterjemahkan oleh: Kathur Suhardi
Cetakan: 1998
Pustaka Al-Kautsar
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.Q373152 ki

3. MENEBUS DOSA: MAKNA DAN TATACARA BERTAUBAT
Pengarang Asal:- Imam Al-Ghazali
Diterjemahkan oleh: Saifuddin Zuhri
Cetakan: 2003
Pustaka Hidayah
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.G49152 ki

4. TAUBAT DAN LIKU-LIKUNYA
Pengarang Asal: Imam Al-Ghazali
Diterjemahkan oleh: Syed Ahmad Semait
Cetakan: 1995
Pustaka Islamiyyah PTE LTD Singapura
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.G492154 1995 ki

5. TAMAN ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT
Pengarang Asal: Ibrahim Yusuf Ali, Al-Karazkani
Diterjemahkan oleh: Tim Hawra
Cetakan: 2005
Psataka Zahra
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.K379152 ki

6. TAUBAT DAN KISAH ORANG ORANG YANG BERTAUBAT
Pengarang Asal: ‘Adil Abdul Halim
Diterjemahkan oleh: Muhyiddin Mas Rida, Lc
Cetakan Pertama: 2007
PERNIAGAAN JAHABERSA
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.A2348154

7. BIMBINGAN TAUBAT
Pengarang: Dr. Hasan Hj. Mohd Ali
Cetakan: 1997
Era Visi Snd. Bhd.
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.H37 ki

8. TAUBAT UNTUK ALLAH
Pengarang Asal: Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Diterjemahkan oleh: Ustaz Mohammad Zaini Bin Yahya
Cetakan: 2001
As-Syabab Media
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.Q373154 ki
9. BIMBINGAN TAUBAT
Penyusun: Mohd Abdul Wahab
Cetakan Pertama: 2006
Jasmin Enterprise
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.B56 ki
*** Pokok perbincangan
Buku ini cukup sesuai untuk bacaan umum. Banyak perkara yang diperbincangkan dalam buku setebal 576 muka surat ini. Antara perkara menarik yang dibincangkan ialah berkaitan “Pintu Taubat Sentiasa Terbuka”. Hadis Rasulullah SAW bermaksud:- “Dari Jundab r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki berkata (mengenai seorang pendosa): “Demi Allah, Allah SWT tidak akan mengampuni si fulan.” Dan sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Siapakan orang ini yang bersumpah tanpa hak atas nama-Ku bahawa aku tidak akan mengampuni si fulan.Sesungguhnya Aku telah mengampuni si fulan(pendosa itu) dan Aku telah gugurkan amal-amalmu.”

10. TITISAN AIR MATA KERANA ALLAH (2)
Pengarang Asal: Ibrahim Abdullah An-Haazimiy
Diterjemahkan oleh: Abu Abdul Rahman An-Nairusiy
Cetakan: 1997
Penerbitan Safa
No. Rujukan PTSL:- Bp 166.79.H339 j.2 ki
*** Pokok perbincangan
Buku ini menghidangkan kepada pembaca beberapa paparan cerita atau kisah-kisah teladan berkaitan denga taubah seorang hamba kepada Tuhannya. Antara kisah menarik yang boleh dijadikan panduan bersama ialah Kisah taubat teruna dara yang dilanda gelombang cinta, Kisah taubat seorang pemuda Kristian dan sebagainya. Melalui pembacaan buku ini, saya mengharapkan para pembaca dapat menyelami perasaan mereka dan berusaha untuk mengikuti jejak langkah mereka dalam menitiskan air mata kerana Allah.
Selamat membaca.

11.BERTAUBAT KEPADA ALLAH
Penulis: Dr . Yusuf al-Qaradhawi
Editor: Abu Aminah Wajihah
Cetakan Pertama: 2007
Perniagaan JAHABERSA
No. Rujukan PTSL:- BP 166.79.Q373154 2007 ki
*** Pokok perbincangan :-Berusaha membangunkan hati yang lengah, menyedarkan fikiran yang liar dan menguatkan semangat yang telah lemah. Penulis berusaha untuk menjelaskan pentingnya taubat, kepentingan dan keutamaannya, serta pentingnya taubat itu dilakukan secepatnya. Penulis juga menjelaskan pokok-pokok, rukun-rukun dan hokum-hukum taubat. Juga buah dan hasil yang akan diperoleh oleh orang yang bertaubat di dunia mahupun di akhirat. Juga dijelaskan dalam kitab ini berkaitan faktor-faktor penghalang untuk bertaubat, rintangan dalam taubat, serta apa yang mendorong untuk bertaubat.